TOTTENHAM 2 BRENTFORD 0

Antonio Conte berkata Tottenham telah banyak belajar selepas dikejutkan NS Mura apabila mempamerkan kemenangan dominan ke atas Brentford dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).


Spurs dimalukan 1-2 kepada pasukan tercorot Liga Persidangan Eropah itu sebelum memastikan kebangkitan dengan kemenangan 2-0, awal pagi tadi.

Gol sendiri Sergio Canos memberikan Spurs kelebihan awal dalam pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan dan bek kanan itu muncul pemain Sepanyol ke-25 yang menjaringkan sendiri dalam EPL.

Son Heung-min menggandakan kelebihan Tottenham selepas rehat -- gol ke-75 pemain antarabangsa Korea Selatan itu untuk Spurs yang juga gol kelimanya musim ini -- dan Conte menegaskan kegagalan mereka di Slovenia minggu lalu adalah satu proses pembelajaran penting yang mampu menjadi pendorong kejayaan mereka di Stadium Tottenham Hotspur kelak.

“Perbezaannya hari ini ini ialah kami menang. Di Slovenia, ia adalah kekalahan yang sangat buruk buat semua orang,” kata pengurus Inter itu kepada pemberita selepas perlawanan.

"Saya fikir anda boleh belajar lebih banyak tentang kekalahan berbanding kemenangan tetapi yang pasti kekalahan di Mura memeritkan. Hari ini adalah satu kemenangan yang baik, untuk mendapatkan tiga mata ketika menentang Brentford bukan mudah kerana mereka teratur dan mahir dalam situasi bola mati.

"Tetapi kami mempamerkan keinginan besar untuk memungut tiga mata dan menang. Kami berjuang untuk memenangi terjahan dan kami sangat fokus.

"Yang pasti kami boleh meningkat dan masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam usaha menguasai permainan. Kami melakukannya dengan baik ketika tanpa bola dan kami memberi tekanan kepada lawan dan saya mahu melihat lawan berdepan kesukaran apabila menentang kami. Kami perlu terus berusaha untuk bertambah baik."






Conte juga memberikan pujian khas terhadap Oliver Skipp yang dianggapnya berkeupayaan untuk berkembang pesat.

"Dia sangat muda, masih ada banyak ruang untuk meningkatkanya," jawab Conte apabila ditanya mengenai Skipp.

"Dia bermain dengan sepenuh hati dan jiwa.

“Hari ini dia bermain dengan baik tetapi saya fikir dia boleh bertambah bagus daripada segi penguasaan bola secara teknikal, tetapi kami bercakap mengenai prospek yang sangat penting dan saya gembira bagi dirinya dan sekarang kami perlu terus tingkatkan permainan.

"Tanpa bola, dia bekerja sangat keras. Yang pasti, bahagian yang dia perlu perbaiki adalah kawalan bola tetapi dalam tempoh sebulan ini, saya telah melihat banyak peningkatan Skippy.

"Dia seorang pemain yang mahu berkembang dan masa depannya terletak di tangannya sendiri. Dia boleh menjadi pemain tengah terbaik tetapi dia perlu terus berusaha. Dia mempunyai kehendak dan keinginan untuk menjadi pemain penting."