Bintang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, hanya memerlukan trofi untuk dianggap menyamai Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, menurut Fernando Torres.

Griezmann menikmati kempen yang baik untuk Atletico dengan menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan -- jumlah sama yang dilakukannya pada musim lalu.

Pemain antarabangsa Perancis itu, yang tiba di Atletico satu musim selepas kelab itu memenangi gelaran LaLiga, dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Torres percaya Griezmann, 27, akan berada sebaris dengan Ronaldo dan Messi jika dia memenangi lebih banyak gelaran.

"Untuk dipertimbangkan menyamai Messi dan Cristiano, dia terlepas gelaran," katanya kepada Cadena SER.

"Saya harap dia mendapatkannya di Atletico."

Torres, yang mengumumkan akan meninggalkan Atletico pada akhir musim ini, mahu Griezmann, penjaga gawang, Jan Oblak, dan jurulatih, Diego Simeone, kekal di kelab itu.

Oblak, 25, juga dikaitkan dengan perpindahan dan Torres melontarkan pujian terhadap pemain itu.

"Saya tidak pernah melihat penjaga gol lebih baik daripada Oblak," katanya. "Saya bayar apa-apa sahaja untuk dia kekal."