Skuad Terengganu FC (TFC) melengkapkan kuota pemain import selepas mendapatkan khidmat Sanjar Shaakhmedov daripada juara Liga Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent.

Shaakhmedov, 29, yang disahkan kehadirannya menerusi satu kenyataan TFC malam tadi, dijangka berganding dengan Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin di bahagian tengah.

Menurut kenyataan itu, antara bekas kelab yang pernah diwakilinya ialah Al-Sailiya SC (Qatar) sebelum kembali ke Tashkent -- kelab kegemarannya.

"Shaakhmedov membantu skuad Tashkent menjuarai Liga Uzbekistan pada 2016, 2017 dan 2018 selain diundi sebagai pemain terbaik kelab tersebut bagi musim 2018.

"Pengalamannya selama tiga musim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) diharap membantu TFC mengejar kejuaraan," kata kenyataan itu.

Beraksi di posisi tengah dan sayap kiri, Shaakhmadov dijadualkan tiba di Kuala Terengganu, Jumaat ini, dengan harapan mencetuskan impak kepada TFC.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)