Jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, tidak mudah berpuas hati dengan penampilan tonggak importnya, Guilherme De Paula, meskipun melakar jaringan hatrik, malam tadi.

Ternyata Yee Fatt menuntut aksi lebih baik daripada De Paula agar aksi seterusnya memihak kepada Kuala Lumpur yang mahu keluar dari zon penyingkiran.

Hatrik De Paula di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, itu meletakkan The City Boys selaku pemenang untuk meraih tiga mata selain bebas dari zon penyingkiran.

Selagi kedudukan Kuala Lumpur belum benar-benar terjamin daripada zon penyingkiran, beliau mengharapkan watak utama, terutama melibatkan De Paula, perlu lebih berusaha untuk membantu skuad Warga Kota itu.

"Memang benar dia meledak gol tetapi dia sepatutnya boleh beraksi dengan lebih baik lagi.

"Mungkin dia masih dibelenggu masalah lutut.

"Ya, dia masih boleh diturunkan tetapi kami mengambil risiko itu dan ia satu perjudian yang bagus," kata Yee Fatt.

De Paula hanya memerlukan tiga gol sahaja lagi untuk memintas kedudukan 67 gol milik Fandi Ahmad selaku penjaring terbanyak pasukan itu.

Suasana hampa, bagaimanapun, menyelubungi jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, selepas hasrat untuk membawa pulang mata penuh bertukar kepada tragedi.

"Dalam tempoh lapan minit, kami dihukum dengan gol yang mudah.

"Untuk kami menuju ke bilik persalinan dengan dibolosi tiga gol adalah sangat berat," ujar Abu Bakar.