Ketua jurulatih Penang, Tomas Trucha, tidak mahu tunduk dengan tekanan berhubung pemburuan tiket Piala AFC yang akan ditentukan dalam perlawanan terakhir Liga Super, Ahad ini.

Pengendali kelahiran Republik Czech itu mendedahkan sebab mengapa dia memilih untuk bertenang menjelang perlawanan getir berkenaan dengan berkata: "Kami tumpu satu persatu perlawanan dan kami akan lihat bagaimana kami akan berakhir musim ini.

"Ini satu pertembungan yang menarik, KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kami sudah tercapai.




"Saya percaya pihak lawan lebih tertekan memandangkan Terengganu adalah pasukan gergasi dalam liga, kami pula adalah pendatang baru. Seronok dengan situasi untuk berdepan perlawanan ini tapi kedudukan kedua, ketiga dan keempat masih bagus buat kami.

"Sebelum ini saya tidak begitu tahu senario kancah di sini. Nampaknya setiap pasukan mampu berikan saingan seperti pertemuan di antara Kedah Darul Aman dan UiTM baru-baru ini.

"Malah, (juara) Johor (Darul Ta'zim) mengalami beberapa kekalahan dan berdepan aksi sengit musim ini," katanya dalam perbualannya bersama wakil Astro Arena, Fina Nasrom, sebentar tadi.