Penjaga gol England, Tom Heaton, berkelana ke Manchester United dengan kontrak dua tahun.

Heaton, yang kali terakhir muncul di peringkat antarabangsa sebanyak tiga kali pada 2017, disambar secara percuma sebaik kontraknya di Aston Villa berakhir.

Pemain berusia 35 tahun itu memulakan kariernya di peringkat belia di Old Trafford yang menyaksikannya bertahan selama 13 tahun.

Bagaimanapun, dia tidak pernah muncul dalam pasukan utama melainkan dipinjamkan beberapa kali sebelum ke Cardiff City pada 2010.

Dia tiba di Burnley melalui Bristol City dan sejak itu kerjayanya mula berkembang di bawah Sean Dyche.

Heaton tampil dalam 188 perlawanan liga buat Clarets lalu melayakkannya tersenarai dalam skuad England ketika berada di Turf Moor.

Kecederaan bahu yang serius menjadi puncanya kehilangan posisi kepada Nick Pope hingga menggugat tempatnya di kelab dan negara , manakala kecederaan lutut memaksanya berehat di pertengahan musim pertamanya di Villa pada 2019-20.




"Bagi saya, peluang untuk kembali selepas 13 tahun menghabiskan detik yang hebat di sini sebagai pemain remaja ini adalah perasaan yang luar biasa, jadi saya sangat teruja.

"Saya hanya melihatnya sebagai satu peluang yang luar biasa kerana saya masih berasakan masih banyak yang boleh ditawarkan dan saya masih boleh bersaing.

"Saya tidak sabar untuk melaporkan diri. Saya berasa dalam keadaan hebat dan saya tidak sabar untuk bersaing dengan penjaga gol yang lain. "

Heaton kemungkinan akan memulakan musim ini sebagai pilihan ketiga dengan David de Gea dan Dean Henderson bersaing hebat untuk peranan nombor satu di bawah Ole Gunnar Solskjaer sejak pemergian Sergio Romero.

Dalam kalangan penjaga gol yang telah beraksi 100 kali atau lebih EPL sejak awal musim 2013-14, Heaton mempunyai peratusan menyelamat ketujuh terbaik iaitu 70.7 peratus sementara De Gea di tangga kelima dalam senarai (71.6 peratus) dan Pope pula mendahului carta dengan 73.9 peratus.

Dalam masa sama, pemain tengah berpengalaman, Juan Mata, bersetuju memeterai kontrak baru selama setahun lagi.