Pemain tengah Bayern Munich, Corentin Tolisso, akan menghabiskan tempoh beberapa bulan selepas ini di luar padang selepas mengalami kecederaan lutut serius sewaktu pasukannya menewaskan Bayer Leverkusen, lewat malam semalam.

Juara bertahan Bundesliga itu turut memaklumkan bahawa pemain bek, Rafinha, bakal terlepas beberapa perlawanan ekoran kecederaan buku lali yang dialami ketika aksi di Allianz Arena itu.

Kecederaan itu hadir susulan terjahan Karim Bellarabi, sebelum pemain Jerman itu dilayangkan kad merah sehingga membuatkan Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, melabelkannya sebagai sesuatu yang bodoh.

Namun, Tolisso yang memadamkan gol pembukaan Wendell buat pelawat, terjatuh ketika separuh masa pertama sehingga meraih kebimbangan daripada pengurus, Niko Kovac.

Pemain tengah itu bakal terlepas sebahagian besar saingan musim ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai usaha mendapatkan pemain baru, Januari nanti.

Bayern akan memulakan cabaran Liga Juara-Juara Eropah di Benfica pada pagi Khamis ini dan pemain sayap, Arjen Robben, mengakui ia bukan masa sesuai untuk mencuba pemain baru.

"Tolisso adalah pemain yang bagus dan kami sudah menyatakannya beberapa kali," ujar Robben.

""Kami memerlukan semua pemain, terutama dalam fasa ini. Ia agak pahit, lebih-lebih lagi buat dirinya sendiri," ujar Robben.

Robben dan James Rodriguez menambah gol buat Bayern selepas Tolisso menyamakan kedudukan tatakala ia mengekalkan rekod bersih juara bertahan itu selepas tiga perlawanan.