Pelumba basikal lebuh raya Belanda, Annemiek van Vleuten, akhirnya menamatkan pemburuan pingat emasnya dalam Sukan Olimpik pada usia 38 tahun selepas mengungguli acara ujian masa wanita hari ini.

Kekeliruan Van Vleuten dalam acara lebih raya menjadi tajuk utama akhbar hujung minggu lalu selepas dia meraikan kejayaannya menamatkan perlumbaan di tempat kedua kerana menyangkakan bahawa dia telah memenangi perlumbaan itu.

Ternyata Anna Kiesenhofer -- yang ketika ini tidak mewakili mana-mana pasukan profesional -- merupakan pemenang perlumbaan itu selepas melakukan 'breakaway' pada 40 kilometer terakhir; Van Vleuten gagal menyedari pesaing dari Austria itu mendahului jauh di depannya.

Bagaimanapun, Van Vleuten, yang hampir memenangi pingat emas dalam edisi di Rio pada 2016 sebelum terjatuh di selekoh terakhir, akhirnya dinobatkan sebagai juara acara ujian masa di Tokyo hari ini dan walaupun dengan status pelumba veteran, dia berazam untuk terus mencabar dirinya bagi mendapatkan lebih banyak kejayaan selepas ini.

"Saya fikir perasaan ini mungkin akan tenggelam pada malam ini tetapi bukan pada ketika ini," kata Van Vleuten, yang menjadi pelumba Belanda kedua memenangi emas acara ujian masa sejak Liontien van Moorsel melakukannya pada 2000 dan 2004.

"Kisah saya bermula di Rio tetapi ia masih belum tamat kerana saya tidak akan berhenti. Tetapi kejayaan ini amat-amat indah. Ia menjadikannya semakin dan semakin indah.

"Saya sedar selepas acara lebuh raya, saya berada di tahap terbaik dan tiada siapa mempercayainya. Mereka berkata mengenai perkara lain dan bukannya mengenai prestasi saya tetapi dalam hati saya, saya menyedari yang persiapan saya amat optimum dan saya sedang berada dalam keadaan terbaik," katanya.

Pada usia 28 tahun dan 293 hari, Van Vleuten menjadi wanita ketiga tertua pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik buat Belanda.

Dia menamatkan perlumbaan itu di depan Marlen Reusser dan rakan senegara, Anna van der Breggen, yang turut menyamai rekod Ban Moorsel selaku pelumba Belanda paling banyak memungut pingat dalam Sukan Olimpik (tiga).