Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan ucapan tahniah buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, susulan kejayaan meraih pingat perak dalam acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Azizulhasni mempamerkan tunggangan bertenaganya untuk mara ke final acara keirin di Veledrom Izu sebelum menamatkan saingan selaku pelumba kedua terpantas di belakang juara bertahan dari Great Britain, Jason Kenny.

Menerusi satu kiriman dalam Facebook rasminya, Perdana Menteri berkata: "Syabas The Pocket Rocketman.

"Tahniah buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, kerana menghadiahkan pingat perak buat Malaysia menerusi acara Keirin basikal trek, Sukan Olimpik Tokyo, sebentar tadi.

"Kejayaan ini tentunya menambahkan keceriaan buat kontinjen negara sebelum temasya sukan tersohor ini melabuhkan tirainya.

"Biar apa pun warnanya, kilauan pingat yang dikutip di pentas sukan terbesar ini tentunya memberi makna cukup signifikan buat anda dan juga negara apabila melihat Jalur Gemilang dinaikkan.

"Seluruh rakyat Malaysia pastinya amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang anda tunjukkan. Saya turut merasa sayu melihat tangisan kemenangan sebentar tadi. Kami di Malaysia amat memahami perasaan serta kesukaran yang anda lalui sepanjang temasya ini. Terima kasih saya ucapkan atas segala pengorbanan anda demi negara."

Perdana Menteri turut memberikan kata-kata semangat buat pelumba muda negara, Shah Firdaus Sahrom.

"Kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom pula, saya ingin katakan yang kegagalan mengiringi Azizulhasni ke peringkat akhir tidak seharusnya mematahkan semangat anda.

"Iltizam dan semangat 'Demi Malaysia' yang dipamerkan apabila sanggup mengetepikan kesakitan yang dialami semasa di peringkat saringan dan suku akhir dengan sendirinya membuktikan anda adalah wira yang perlu disanjungi. Terima kasih Shah Firdaus," tambahnya.