Penerjun negara, Pandelela Rinong, memperbaiki kualiti terjunan bagi memastikan membawa Malaysia ke final acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, sebentar tadi.

Pandelela menamatkan saingan pusingan kelayakan semalam di tempat ke-18 daripada 30 peserta selepas mengumpulkan 284.90 mata selepas lima terjunan.

Ketiadaan rakan senegara, Cheong Jun Hoong, menyaksikan tanggungjawab digalas penerjun kelahiran Sarawak itu meneruskan kemaraan Malaysia dalam memburu slot ke final yang berlangsung pada sebelah petang.



Menerusi terjunan pertama, Pandelela meraih 67.50 untuk menghuni tangga keempat.

59.45 mata dalam terjunan kedua menyaksikan penerjun negara itu turun empat anak tangga dalam persaingan lima terjunan itu.

Dia memperbaiki persembahan dalam dua terjunan seterusnya sebelum melengkapkan dengan kutipan mata 315.75 mata sekaligus memperbaiki persembahannya dalam sesi kelayakan.

Penerjun berusia 28 tahun itu menamatkan saingan separuh akhir di tempat kelapan sekaligus mara ke final dalam saingan yang berlangsung pada jam 2 petang.