Skuad berbasikal trek negara perlu memiliki percaturan yang mantap sambil berwaspada dengan pencabar yang menggunakan gear besar.

Perjuangan Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom dalam pusingan ketiga acara pecut Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu berakhir hari ini, ia juga bagi mengelak risiko tinggi demi memberi tumpuan kepada keirin Ahad ini.

Olimpian negara pada 2008, Rizal Tisin, menjelaskan taktikal sangat memainkan peranan dalam usaha mereka mengintai pingat emas dalam keirin kelak.

"Keirin bergantung kepada senarai pelumba yang akan mereka hadapi selain posisi perlumbaan.

"Dari situ mereka akan putuskan gear yang akan digunakan dan pelan kayuhan mereka.

"Kelebihan berpihak kepada Azizul atas pengalamannya berbanding Shah Firdaus.

"Corak perlumbaan sekarang ini terutama membabitkan pelumba Belanda atau pelumba yang biasanya guna gear besar dan mereka akan tarik pelumba-pelumba lain ke depan.

"Azizul boleh tunggu peluang di belakang pelumba nombor dua atau tiga. Mungkin satu atau separuh pusingan akhir kemudian dia boleh cuba pintas mereka. Ini salah satu pilihannya.

"Kalau dia mahu tarik pelumba ke depan, dia perlu kawal sebaik mungkin tapi ia agak sukar untuk taktikal sekarang," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.






Rizal sudah menduga kedua-dua taruhan Malaysia itu akan mengelak ke suku akhir memandangkan di peringkat suku akhir esok, lebih banyak aksi yang perlu dihadapi termasuk penentuan kedudukan kelapan.

"Hari pertama semalam agak penat (buat mereka) kerana mengharungi repechage.

"Mereka cuba bangkit hari ini tapi jumpa pula dua kuasa dunia.

"Saya rasa mereka mungkin dah putuskan untuk melupakan (saingan) dalam repechage hari ini.

"Jadi saya rasa mereka mahu fokus kepada perlumbaan Ahad ini," katanya lagi.



*Kredit foto: asiana.my