Ombak ganas setinggi dua meter dan angin kencang yang membadai Teluk Enoshima terus menjadi penghalang pelayar negara, Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Latif, untuk melakar keputusan terbaik, masing-masing dalam acara laser standard & laser radial hari ini.

Berbekalkan keputusan positif menamatkan perlumbaan keenam di tangga ke-13 kelmarin, Khairulnizam turun beraksi dengan semangat juang tinggi dalam usaha meneruskan momentum berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan angin kencang dan gelora lautan setinggi dua meter di perairan Enoshima benar-benar menguji kudrat pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu untuk berpuas hati menamatkan perlumbaan ketujuh di tangga ke-26 dan perlumbaan kelapan di tangga ke-28.

Ia menyaksikan jaguh negara itu kini berada di tangga ke-27 keseluruhan berbaki dua perlumbaan.

Nasib sama turut menimpa Nur Shazrin dalam acara laser radial, di mana dia menamatkan perlumbaan ketujuh di tangga ke-28 dan perlumbaan kelapan di tangga ke-30.

Ia menyaksikan wakil negara itu berada di tangga ke-28 keseluruhan menjelang dua perlumbaan terakhir esok.

Hanya 10 pelayar terbaik selepas 10 perlumbaan akan layak menyertai saingan terakhir bagi perebutan pingat.