Beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, menamatkan saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan kemenangan straight set ke atas wakil Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith, sebentar tadi.

Kemenangan 21-19, 21-16 sekaligus menutup perjalanan beregu wanita negara itu dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka yang tewas dalam dua perlawanan ketika bertemu Indonesia dan Jepun turun dengan persembahan yang penuh bertenaga dalam set pertama. Bagaimanapun, kelebihan ketika mendahului 20-15 berjaya dirapatkan oleh wakil Great Britain itu sebelum Malaysia menang 21-19.

Kedua-dua pasukan berusaha dalam mengejar mata dalam set kedua, saling bertukar serangan namun Mei Kuan-Meng Yean menggunakan kesilapan lawan mengutip mata sebelum menoktahkan kemenangan 21-16.

Selepas tamat perlawanan Meng Yean berkata, "Menyedari ini perlawanan terakhir, kami hadir ke gelanggang dengan misi menamatkan saingan dengan kemenangan."

"Ini merupakan perancangan kami untuk memenangi perlawanan dengan keputusan straight set dan yakin mampu mengatasi lawan dari Great Britain."

Mei Kuan pula berkata, "Berakhirnya saingan Sukan Olimpik ini, banyak lagi kejohanan yang perlu dihadapi dan melihat ke hadapan. Kami akan bermula semula dengan perancangan untuk berjaya pada masa akan datang."