JEPUN 0 SEPANYOL 1

Sepanyol mara ke final bola sepak lelaki Sukan Olimpik buat julung kalinya sejak edisi Sydney 2000 menerusi kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah, Jepun, selepas masa tambahan sebentar tadi.

Jaringan pemain Real Madrid, Marco Asensio, pada minit ke-116 menjadi jurang pemisah apabila dia memperdayakan Koshei Tani untuk menempah tiket perlawanan akhir berdepan juara bertahan, Brazil, Sabtu ini.

Mikel Merino memiliki peluang keemasan pertama perlawanan sebelum Rafa Mir -- yang hatriknya membawa pasukannya ke separuh akhir -- seharusnya membuka tirai jaringan tetapi rembatan penyerang itu tepat ke kaki penjaga gawang, Tani.

Merino menganggap dia telah menebus kesilapan awalnya itu dengan memenangi sepakan penalti dalam babak kedua sebelum masuk campur tangan video bantuan pengadil (VAR).

Mikel Oyarzabal kemudian mensia-siakan peluang terakhir dalam waktu sebenar permainan sebelum tandukan Daizen Maeda dalam separuh masa pertama masa tambahan melepasi palang gol yang dikawal Unai Simon.




Ketumpulan itu menjadi duri dalam daging buat Jepun apabila pemain gantian, Asensio, menunjukkan kualiti sentuhan penyudahnya apabila dengan tenang melepaskan bola ke sudut bawah kiri tatkala permainan berbaki empat minit.

Bagaimanapun, keputusan itu mungkin berbeza, andai percubaan Koji Miyoshi tidak dipatahkan beberapa saat sebelum jaringan kemenangan Asensio tersebut, namun Jepun harus berpuas hati untuk perebutan pingat gangsa menentang Mexico, Jumaat ini.

Sepanyol, yang menyenaraikan enam bintang Euro 2020 kini pasti berhajat untuk menempa kejayaan lebih bermakna selain pingat perak yang dilakar ketika temasya Sydney 2000 dalam usaha mengulangi pencapaian barisan wira edisi Barcelona 1992 yang menyaksikan mereka muncul juara.