Ronald Koeman percaya Sepanyol sepatutnya memberikan Pedri waktu rehat secukupnya daripada memanggil pemain itu menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Pemain tengah itu merupakan pilihan utama Sepanyol ketika layak ke separuh akhir Euro 2020 baru-baru ini dan menjadi pemain pertama memulakan kesemua enam perlawanan kejohanan utama -- sama ada Euro atau Piala Dunia -- pada usia 18 tahun dan ke bawah.

Pedri tidak diberikan waktu rehat sebelum memulakan kempen LaLiga bersama Barcelona, sebaliknya telah berada di Jepun bagi menyertai acara bola sepak Sukan Olimpik.

Sepanyol akan memulakan saingan Kumpulan C dengan berdepan Mesir pada Khamis ini sebelum menghadapi Argentina dan Australia.

Koeman berkata dalam sidang media: "Pedri telah bermain terlalu banyak perlawanan. Kita perlu memberikannya rehat, semua orang memerlukannya dalam musim panas ini.

"Seperti yang Pep Guardiola pernah katakan, beraksi dalam dua kejohanan penting dalam satu musim panas adalah terlalu banyak tetapi kami tidak dapat buat apa-apa.

"Pedri mencipta fenomena dalam Kejohanan Eropah. Pada usia 18 tahun, dia telah beraksi penuh dalam hampir kesemua perlawanan, dengan kematangan yang menakjubkan.

"Bola sepaknya terus berkembang dan dia seorang yang amat jujur dan tenang. Dia hidup demi bola sepak. Dia contoh bagaimana untuk menjadi pemain muda di Barca.

"Ia amat penting untuk pembangunan bola sepak kami, orang muda yang melihat mereka berada di kelab yang memberikan mereka peluang," katanya.