Pemain golf negara, Kelly Tan, sekali lagi merekodkan 73 pukulan dua di atas par dalam saingan wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Ia satu igauan sama yang terus menghantui pemain wanita nombor satu negara itu selepas mendapat keputusan sama dalam saingan hari pertama semalam, sekali gus meletakkanya di tangga ke-49 keseluruhan dengan 146 pukulan empat di atas par.

Kelly memulakan saingan hari ini dengan bogey di lubang pertama sebelum melakukan double bogey di lubang ke-16, perkara sama yang berlaku pada hari pertama semalam.

Ia pasti menjadi sesuatu yang menghairankan tetapi itulah yang dilalui wakil negara berkenaan di Kelab Golf Kasumigaseki.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dia berkata: "Saya akan berdoa dengan lebih kuat apabila tiba di lubang ke-16 esok.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku, ia seperti tidak bernasib baik. Pukulannya tidaklah begitu buruk.

"Saya bangkit selepas itu dan ia menunjukkan semangat juang saya.

"Saya tidak dapat memberikan permainan terbaik, jadi pasti lebih banyak perkara positif untuk esok dan lusa.

"Permainan masih panjang, jadi harap-harap saya dapat melakukannya esok," katanya.

Secara keseluruhan, Kelly merekodkan empat bogey dan empat birdie dalam saingan hari ini.