Setiap atlet pasti mahu mencabar pingat di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tidak terkecuali pemain golf negara, Kelly Tan, yang akan turun bersaing di Kelab Golf Kasumigaseki pagi esok.

Dalam edisi di Rio pada 2016, Kelly menamatkan kempen di kedudukan ke-51 daripada keseluruhan 61 perserta bertanding.

Atlet yang berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat itu tiba di Tokyo sejak 30 Julai lalu demi membiasakan diri dengan keadaan di sana, termasuk memberikan sokongan kepada rakan senegara dalam acara lelaki, Gavin Green.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dia berkata: "Sudah pasti sasaran utamanya adalah untuk ke sini dan memenangi pingat emas buat Malaysia dan sasaran peribadi saya adalah untuk melakukan yang lebih baik daripada apa yang saya pernah lakukan di Rio. Saya mahu membina keyakinan dan momentum daripadanya.

"Saya ada melihat serba sedikit Gavin bermain, lapangan ini kelihatan berada dalam keadaan baik. Ia benar-benar sukar.

"Lapangan ini mempunyai 'fairway' yang agak dalam tetapi ia amat indah," katanya.