Pelayar negara, Juni Karimah Noor Jamali, bersedia mengetepikan faktor luar perlumbaan dan rekod di atas kertas menjelang saingan pembukaan acara 470 wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Teluk Enoshima petang esok.

Ini selepas kejayaan rakan sepasukannya, Nur Shazrin Latif, menamatkan perlumbaan pertama acara laser radial di tempat ketiga kelmarin.

Juni Karimah, 19, bersama gandingannya, Nur Aisyah Jamil, menghuni ranking ke-44 dunia dalam acara 470.

Gandingan negara itu merupakan antara satu daripada tiga wakil Asia selain tuan rumah, Jepun, dan China yang akan berlayar di Teluk Enoshima bersama 18 pencabar lain dalam acara berkenaan.

"Kami di sini, tiada siapa tidak mahu duduk depan, semua orang mahu berjuang untuk berada di depan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

"Jadi, untuk saingan esok, saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan kedudukan yang bagus.

"Apabila melihat pelayar kita mendapatkan tempat ketiga pada hari pertama, ia menjadi pembakar semangat buat saya untuk mendapatkan keputusan yang bagus," katanya.

Juni Karimah juga tidak menganggap cuaca yang tidak menentu di Teluk Enoshima akan memberikan kesan besar buat mereka memandangkan pernah melalui keadaan yang lebih sukar sebelum ini.

Ketika ini, pihak penganjur meletakkan temasya itu dalam keadaan berjaga-jaga susulan perkahabaran Taufan Netapark akan membadai Negara Matahari Terbit itu dalam tempoh 48 jam.

"Kalau kita memikirkan bahawa kita berada di (ranking) bawah, sampai bila-bila kita akan hilang semangat.

"Apabila kita berada di sini, kita tidak boleh berfikir bahawa kita tidak mempunyai cukup pengalaman atau sesuatu seperti itu, kita perlu tetapkan minda bahawa kita di tahap sama seperti mereka," tambahnya.