Pelayar wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali, mengakui kecuaiannya menjadi punca dia dan pasangannya, Nuraisyah Jamil, tidak dapat menamatkan perlumbaan kelapan acara international 470 Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Juni Karimah dan Nuraisyah dibadai arus deras sehingga terjatuh dan terpaksa melupakan perlumbaan itu, sekali gus kekal berada di tangga ke-20 keseluruhan.

Ia ternyata hari yang cukup mencabar buat dua pelayar berkenaan, di mana mereka menamatkan pusingan ketujuh di tangga ke-20 dan kegagalan Juni Karimah mengawal keadaan dalam perlumbaan kelapan menyaksikan perahu mereka terbalik dan tidak dapat meneruskan perlumbaan berikutan masalah teknikal.

Hanya berbaki dua perlumbaan untuk mereka memperbaiki kedudukan, di mana hanya 10 pasukan terbaik akan layak ke perlumbaan perebutan pingat.

"Kalau dilihat dalam perlumbaan ketujuh, kami sudah berada di depan tetapi selepas sampai ke mark pertama, kami tidak lepas kerana arus yang amat kuat, jadi kami terpaksa berundur dan mencuba sekali lagi tetapi kami berlanggar.

"Dalam perlumbaan kelapan, di tempat yang sama juga. Kami cuba untuk mengelak arus deras tetapi saya lambat bertindah sehingga perahu kami terbalik.

"Selepas terbalik, kami mencuba untuk mengangkatnya kembali tetapi ada masalah teknikal.

"Untuk perlumbaan esok, selagi kami masih ada tenaga, kami akan tetap buat yang terbaik," katanya.