Fiji meneruskan dominasi dalam acara Ragbi 7 sepasukan Sukan Olimpik selepas mengatasi New Zealand 27-12 bagi mempertahankan gelaran yang dimenangi pada Rio 2016.

Ia merupakan pingat emas kedua Fiji dalam sejarah penampilan dalam saingan Sukan Olimpik, dengan skuad ragbi 7s Fiji melanjutkan rekod tanpa kalah kepada 12 perlawanan.

April lalu, COVID-19 memaksa skuad Fiji berkurung di Suva sebelum berkunjung ke Australia pada bulan lalu bagi aksi pemanas badan Sukan Olimpik.

Ketua jurulatih, Gareth Baber, mendedahkan sesetengah pemain, yang tidak pernah menaiki kapal terbang sebelum ini atau bermain di peringkat elit, tidak bertemu keluarga mereka 'hampir 20 minggu'.

"Pada dasarnya kami telah berkurung selama lima bulan," kata Baber.

"Mereka datang ke kem latihan pada hari Isnin Easter dengan berfikir bahawa mereka akan kembali pada hari Jumaat, dan pada hari Selasa mereka diberitahu bahawa mereka tidak dapat kembali dan tidak melihat keluarga mereka sejak itu. Ia memerlukan jenis individu yang cukup istimewa bagi melaksanakan komitmen itu.

"Kami berkurung dalam tempoh yang lama. Kami membuat kelengkapan latihan sendiri, pada dasarnya di garaj asrama yang kami diami, dan kami berada di sana selama kira-kira 12 minggu.

"Sebenarnya, apabila para pemain pulang dan melakukan kuarantin, sudah lebih kurang 20 minggu sejak mereka kali terakhir bertemu keluarga."