Pasukan bola sepak lelaki Jerman meninggalkan padang dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika menentang Honduras gara-gara pertahanan, Jordan Torunarigha, mendakwa dia menerima ejekan berbentuk perkauman.

Perlawanan di Wakayama sebentar tadi itu terikat 1-1 ketika perlawanan berbaki lima minit lagi, beberapa saat selepas Felix Uduokhai membatalkan jaringan pembukaan Douglas Martinez dalam separuh masa pertama.

Akaun Twitter pasukan kebangsaan Jerman kemudian memberi alasan mengapa perlawanan -- yang berlangsung 30 minit dalam tiga babak itu -- disingkatkan.

"Perlawanan berakhir lima minit lebih awal dengan kedudukan 1-1," menurut ciapan itu.

"Pemain Jerman meninggalkan lapangan berikutan Jordan Torunarigha diejek secara perkauman."




Torunarigha mewakili Hertha Berlin di peringkat kelab dan telah beraksi untuk Jerman sejak peringkat B-16 hingga B-23.

Februari 2020, pemain berusia 23 tahun itu turut menjadi mangsa dalam pertembungan DFB-Pokal di antara Hertha dan Schalke.

Berikutan insiden terbaru ini, Hertha segera melahirkan sokongan terhadap bek tengah itu dengan ciapan berbunyi: "Ia satu-satunya keputusan yang tepat!"

Jerman akan menentang Brazil dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D pada 22 Julai ini sebelum menentang Arab Saudi dan Ivory Coast.