Pemain tengah Real Madrid yang pernah dipinjamkan kepada Arsenal, Dani Ceballos, gembira untuk kembali bekerjasama dengan ketua jurulatih skuad Sukan Olimpik Sepanyol, Luis de la Fuente, memandangkan dia pernah berkhidmat untuk pengendali itu sewaktu dalam saingan B-19.

Sepanyol akan turun dalam Sukan Olimpik Tokyo sebagai salah satu pasukan pilihan memenangi pingat emas, di mana De la Fuente turut memanggil enam pemain yang sebelum ini layak ke separuh akhir Euro 2020 bersama skuad senior.

Mereka mempunyai pemain yang cukup menggerunkan lawan untuk diturunkan dalam Sukan Olimpik, termasuk Pedri, Unai Simon, Dani Olmo, Mikel Oyarzabal, Eric Garcia dan Pau Torres.

Ketika senarai pemain itu menjadi gambaran bahawa Sepanyol berpeluang meraih pingat emas kedua sejak 1992, Ceballos pula menceritakan betapa hubungannya dengan De La Fuente akan membantunya untuk lebih menyinar.

"Saya mempunyai jurulatih yang hebat-hebat tetapi dengan Luis, kami mempunyai hubungan yang berbeza. Kami sudah bekerjasama dengan erat sejak kejohanan pertama (Kejohanan Eropah B-19 pada 2015)," kata bekas pemain tengah Arsenal itu dalam sidang media.

Sejak itu, kami sudah menempa hubungan yang amat kuat. Dia memberikan saya keyakinan dan saya amat bertuah untuk membalas kepercayaannya di atas padang."

Skuad kendalian De la Fuente itu akan memulakan kempen dengan menentang Mesir esok sebelum bertemu Argentina dan Australia, dan Ceballos, yang beraksi sebanyak 49 kali ketika dipinjamkan selama dua tahun di Arsenal, sedar akan cabaran berbeza yang menanti mereka dalam temasya itu.

"Ia kejohanan yang amat berbeza dengan apa yang kami sebagai pemain bola sepak biasa bermain. Ia peluang yang unik.

"Amat sukar untuk layak menyertainya kerana ia memerlukan banyak ketetapan yang sukar untuk dilengkapkan. Tetapi pasukan ini telah melakukan banyak perkara dan layak menyertainya dan kini adalah masa untuk menikmatinya," katanya lagi.