Penguasaan Usain Bolt dalam acara pecut tidak bagus untuk olahraga berikutan kejohanan tertentu trek dan padang tertentu sukar mendapat liputan meluas, menurut bekas bintang lari berpagar, Edwin Moses.

Pelari pecut Jamaica itu memenangi 19 gelaran utama -- lapan pingat emas Sukan Olimpik dan 11 kejuaraan dunia -- sebelum mengakhiri kariernya pada 2017.

Atlet berusia 34 tahun itu mengungguli 100 meter dan 200m dalam tiga temasya Sukan Olimpik berturut-turut dengan merakamkan rekod baru dunia dalam kedua-dua acara tersebut.

Tetapi ketika Bolt mengubah lanskap sukan dalam tempoh sedekad yang dilimpahi pingat, Moses berkata kepada Stats Perform bahawa adalah bagus untuk melihat acara lain juga menerima perhatian dalam temasya di Jepun itu.

"Saya rasa olahraga agak menderita ketika Usain sering menang," katanya.

"Banyak kejohanan tidak mendapat liputan televisyen kecuali dia menyertai perlumbaan itu.

"Ia mula berlaku sekitar 80-an berikutan televisyen menjadi ketagihan.
Media tidak akan membuat liputan olahraga melainkan jika mereka mempunyai seseorang yang mencatat rekod dunia," katanya.




Namun, Moses berpendapat edisi Sukan Olimpik kali ini bagaikan memberi nafas segar kepada senario olahraga di seluruh dunia.

"Trek dan padang seperti sarkas tiga penjuru -- ia memerlukan sebuah keluarga (ramai pelumba handalan) dalam satu penganjuran. Saya benar-benar tertarik dengan atlet pada tahun ini termasuk lompat kijang wanita.

"Kesemua ramuan ini harus ada. Bukan setakat mengenai siapa yang akan menjadi lelaki terpantas atau wanita terpantas.

"Saya sangat gembira melihat 400 meter berpagar menjadi acara utama dalam Sukan Olimpik, baik lelaki mahupun wanita. Ketika saya menyertainya, ia adalah acara yang sering mencuri tumpuan.

"Ketika itu fokus lebih terarah kepada 100m dengan adanya Ben Johnson dan Carl Lewis, tetapi akhirnya rintangan 400 meter berada di puncak sejarahnya.

"Kita mesti mempunyai sekitar 15 pelari hebat, bintang terkenal yang mampu menjadi nama yang sering meniti di bibir peminat."