Atlet judo Jerman, Martyna Trajdos, telah membela jurulatihnya kerana menggoncang dan menamparnya secara kasar sebelum pertarungan dalam Sukan Olimpik Tokyo.

Trajdos bakal bertarung dengan wakil Hungary, Szofi Ozbas, dalam pusingan 32 kategori 63kilogram wanita semalam.

Ketika dia menuju ke gelanggang, Trajdos berhenti dan berpaling ke arah jurulatihnya, Claudiu Pusa. Dia kemudian memegang bahu Trajdos dan menggoncangkan seluruh badan sebelum menampar kedua-dua belah pipinya.


Atlet Jerman itu kemudian mengangguk dan memasuki gelanggang untuk perlawanannya.

Atlet berusia 32 tahun itu, yang merupakan juara Eropah 2015 dan memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia dua tahun llau, tewas kepada Ozbas -- yang meraih kemenangan menerusi Waza-Ari.

Keputusan itu menyingkirkan Trajdos daripada pertandingan tetapi video rutin pra-perlawanan kini tular di media sosial menyebabkan beberapa individu mula bimbang dengan kesejahteraannya.

Menerusi Instagram, Trajdos mempertahankan jurulatihnya dan menegaskan apabila dilakukan adalah apa yang diminta daripada dirinya sendiri.

Dia berkata, "Nampaknya ini tidak cukup kuat!

"Saya berharap saya dapat membuat tajuk utama yang berbeza hari ini.

"Seperti yang telah saya katakan, itulah rutin yang saya pilih sebelum pertandingan!

"Jurulatih saya hanya melakukan apa yang saya mahu dia lakukan untuk meningkatkan semangat saya!"

Trajdos berkata lagi, "Jangan bimbang! Itulah rutin yang saya pilih sebelum bertarung. Jurulatih saya hanya melakukan apa yang saya mahu dia lakukan untuk saya!