Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, menuntut barisan pemainnya supaya mendapatkan gol awal bagi mematikan semangat skuad lawan dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Malaysia berdepan T-Team, malam ini.

Pahang kini dalam misi wajib menang untuk mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas mengumpul enam mata setakat ini.

Bagi Shaharuddin, setiap pemain perlu sedar tugas masing-masing untuk memastikan gol awal berpihak kepada mereka kerana itu sekurang-kurangnya mampu menghadirkan sedikit tekanan kepada T-Team untuk bergelut melakukan jaringan.

Tiada istilah gagal mendapatkan momentum meskipun telah berehat panjang sejak bulan lalu kerana mereka turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk terus konsisten di dalam padang.

"Gol awal penting kerana ia menyuntik keyakinan kepada pemain, lebih-lebih lagi bermain di tempat sendiri selain faktor liga berehat hampir sebulan.

"Yang penting, kami mendapatkan gol awal dengan secepat mungkin agar kami segera menemui rentak," katanya.

Pemain tengah Tok Gajah, Joseph Kalang Tie, pula menganggap komitmen 100 peratus sahaja masih belum mencukupi jika mereka berhajatkan kemenangan ke atas The Titans.

Baginya, perkara utama yang ditekankan selepas berehat panjang adalah tahap kecergasan yang perlu sentiasa konsisten untuk beraksi.

"Pemain-pemain fokus kepada perlawanan, tidak kira siapa yang akan diturunkan pasti akan memberikan aksi 100 peratus.

"Inilah misi hidup mati kami untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia," ujar pemain kelahiran Sarawak itu.