Pahang membawa bekalan selesa untuk bertandang ke Ipoh apabila meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Perak dalam aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Tok Gajah mempamerkan watak garang di hadapan penyokong sendiri apabila memperoleh ketiga-tiga gol pada separuh masa pertama.

Meskipun gol awal Wan Zaharulnizam Zakaria dibatalkan kerana ofsaid, namun pemain kebangsaan itu menebus kehampaanya dengan mencetak gol pertama perlawanan hasil umpanan ketua pasukan, Matthew Davies.

Berselang seminit kemudian, Afif Amiruddin, pula mengukuhkan kedudukan Pahang menerusi situasi kelam-kabut di pintu gol The Bos Gaurus.

Pahang terus garang apabila Davies-- yang diletakkan sebagai pemain sayap dalam perlawanan ini -- turut meledak gol sebelum babak pertama berakhir.

Bagaimanapun, penyerang import Perak kelahiran Brazil, Gilmar, merapatkan jurang untuk menjadikan kedudukan 3-1 selepas sejam permainan berlangsung.

Pahang tidak mengendurkan asakan mereka apabila mencipta beberapa gerakan berbahaya sehingga lewat permainan tetapi dihampakan oleh penyudah kurang berkesan.

Kredit imej: OfficialPhgFA