Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA), Datuk Seri Ir Idris Haron, berpendapat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, adalah individu yang paling layak menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Dalam satu kenyataan yang dihantar MUSA, Idris berkata beliau menghormati hasrat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu melepaskan jawatan presiden badan induk bola sepak negara itu.

"Justeru, saya berpendapat tokoh yang paling layak menerajui FAM adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menerusi kewibawaannya yang amat memahami bola sepak Malaysia dan isi hati penyokong bola sepak tempatan," kata Idris, yang juga Ketua Menteri Melaka.

Tambah beliau, pencalonan ini adalah berdasarkan daripada penelitian dan pemerhatiannya terhadap pencapaian yang telah dikecapi TMJ dalam mengurus tadbir bola sepak Johor Darul Ta’azim (JDT).

"Ia termasuk juara sebanyak tiga kali Liga Super dan menjuarai Piala AFC pada tahun lalu, sekali gus mencatat sejarah bola sepak negara.

"Malah, kami dapat melihat sejak TMJ menerajui JDT, pembangunan dalam semua aspek amat menakjubkan sehingga saya fikir Johor adalah negeri yang terkehadapan dalam faktor mengurus dan menyediakan prasarana dan pembangunan bola sepak."

Katanya, sebagai presiden MUSA dengan kejayaan menjuarai Liga Perdana, beliau berhak untuk menyatakan TMJ adalah calon yang paling layak menerajui FAM pada masa hadapan.

"Atas kejayaan hebat JDT di bawah kepimpinan TMJ, beliau dilihat insan paling tepat merangka perencanaan meletakkan FAM persis apa yang sudah dilakukan di JDT," kata Idris, seperti dipetik dalam kenyataan itu.