Pengendali Brazil, Tite, menggesa penyokong pasukan agar tidak panik selepas dimalukan Panama menerusi keputusan 1-1 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi, sambil menegaskan penurunan tahap adalah perkara normal apabila pemain muda diberi peluang.

Walaupun Lucas Paqueta memberikan Brazil pendahuluan dalam babak pertama, sekali gus meraih jaringan sulung di pentas antarabangsa, Panama bangkit selepas rehat untuk menyamakan kedudukan walaupun Adlofo Machado dikatakan dalam situasi ofsaid.

Brazil memberi tekanan sehingga wisel penamat tetapi masih gagal untuk mendapatkan gol kemenangan dan mencerminkan persembahan mengecewakan.

Namun, Tite tidak menghiraukan keputusan itu sambil mendakwa dia tidak menjangkakan aksi sempurna selepas memanggil beberapa pemain muda.

"Apa yang kami jangkakan di peringkat ini? Kami memberi pemain muda peluang," kata Tite.

"Ia adalah keputusan buruk dan babak pertama berada di bawah jangkaan kami. Selepas rehat, beberapa perubahan telah dilakukan.

"Dalam separuh masa kedua, kami dapat menyusun permainan dan beraksi seperti biasa, namun babak pertama sememangnya di bawah tahap sebenar.

"Ia normal. Kami membariskan pemain seperti Eder Militao dan Alex Telles. Ini adalah peringkat yang kami lalui.

"Apabila memulakan Copa America, saya akan membuat pilihan terbaik. Jangkaan saya adalah pasukan akan menjadi lebih kreatif tetapi saya juga perlu menerima bahagian tengah melakukan kesilapan.

"Saya harus melakukan pengubahsuaian ini, jadi permainan akan menjadi lebih kreatif bersama barisan depan.

"Penyokong tetap ada untuk mendengar, memahami, marah atau sebagainya dengan keputusan itu. Ia sesuatu yang normal.

"Jika saya seorang peminat, saya mahukan kemenangan ke atas Panama. Kami perlu faham konteks, sama seperti kami perlu memahami penyusunan pasukan.

"Kami akan melanjutkan peluang untuk pemain sedia ada kerana selepas ini, saya tidak akan memberikan peluang lagi."