Beribu-ribu penyokong Brazil memenuhi Kazan Arena malam tadi untuk melihat pasukan mereka mengorak langkah besar ke arah kejayaan pertama menjulang Piala Dunia sejak 2002.

Pada penghujungnya, kebanyakan mereka berlinangan air mata.

Brazil tiba ke kejohanan kali ini dengan keyakinan yang meningkat selepas Neymar disahkan pulih daripada patah tulang metatarsal, Februari lalu, dan cergas untuk memikul harapan besar penyokong dan rakyat negara itu.

Namun, mereka meninggalkan Russia dengan hajat tidak kesampaian, dengan Neymar pula lebih diingati kerana siri lakonannya di atas padang.

“Saya fikir ia adalah satu perlawanan hebat dan kami menguasai sebahagian besar daripadanya dan mencipta banyak peluang jaringan,” kata ketua jurulatih Brazil, Tite, selepas disingkirkan Belgium 2-1 dalam aksi suku akhir itu.

“Tapi Belgium lebih efektif dalam menterjemahkan peluang-peluang mereka. Mereka memiliki ramai pemain utama dan menyudahkan peluang dengan baik.

“(Penjaga gol) Thibaut Courtois juga memberi perbezaan besar.

“Namun, untuk semua kesakitan yang saya rasakan sekarang, anda perlu menonton semula perlawanan ini jika anda sukakan bola sepak. Ia akan memberi anda kenikmatan,” tambahnya.

Kekecewaan terbaru mereka awal pagi tadi bermakna Brazil kini telah disingkirkan oleh pasukan-pasukan Eropah dalam setiap satu daripada empat edisi Piala Dunia terdahulu – Perancis pada 2006, Belanda pada 2010, Jerman pada 2014 dan Belgium pada 2018.

Brazil yang menghujani pintu gol Belgium dengan 27 percubaan sepanjang perlawanan itu mungkin menikmati kesudahan lebih menggembirakan jika tidak kerana kecemerlangan Courtois.

Penjaga gol Belgium itu mempamer satu siri aksi menyelamat menakjubkan pada peringkat penghujung perlawanan apabila pasukan Amerika Selatan itu menekan hebat untuk mencari gol penyamaan.

Tepisan keluarnya terhadap sepakan lencong Neymar tiga minit dalam masa kecederaan menambah kepada kehampaan Brazil selepas mereka dinafikan sepakan penalti susulan terjahan pemain pertahanan, Vincent Kompany, terhadap Gabriel Jesus.

Keseluruhannya, Brazil adalah sebuah pasukan berbeza daripada yang diaibkan 7-1 oleh Jerman dalam separuh akhir empat tahun lalu tetapi penyingkiran terbaru ini tetap amat menyakitkan.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai masa depan saya ketika ini,” kata Tite lagi. “Selepas dua minggu, apabila segala-galanya sudah reda, kita semua akan lebih tenang untuk membincangkannya dengan lebih baik.”