Pengendali Brazil, Tite, berpendapat Neymar akan mengalami turun naik prestasi sebelum dapat mempamerkan aksi terbaiknya secara konsisten.

Selepas tiga bulan diketepikan akibat kecederaan, Neymar kembali beraksi dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia apabila Brazil menundukkan Croatia 2-0 di Anfield, malam tadi.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu mempamerkan larian serta teknik penyudah yang sempurna untuk menjaringkan gol pembukaan sebelum Roberto Firmino menambah gol kedua pada minit terakhir perlawanan.

Sedar akan harapan yang diberikan terhadap Neymar, Tite berharap agar semua pihak akan bersabar dan memberi masa buat bekas penggempur Barcelona itu untuk tampil konsisten.

"Kita lihat sewaktu sesi latihan nanti," kata Tite.

"Dia kembali melebihi jangkaan dan beraksi cemerlang tetapi dia tetap sedang dalam proses memulihkan kecergasannya.

"Sudah pasti dia akan mengalami prestasi turun naik sebelum mencapai tahap terbaik, mungkin dalam perlawanan ketiga atau keempat. Usah wujudkan harapan menggunung berdasarkan aksi bertemu Croatia," tambahnya.

Neymar akan berpeluang untuk sekali lagi menguji tahap kesediaannya apabila Brazil berdepan satu lagi aksi persahabatan menentang Austria sebelum memulakan saingan Piala Dunia pada 17 Jun bertemu Switzerland.

Dalam masa sama, Tite, yang memiliki beberapa pilihan untuk dipertaruhkan di barisan depan, tidak menolak kemungkinan bahawa dia akan menggunakan kombinasi Neymar, Willian dan Philippe Coutinho selepas trio serangan itu menunjukkan keserasian yang baik.

"Mereka beraksi dengan baik. Tidak mustahil saya akan menggunakan percaturan itu tetapi saya juga perlu memberi masa untuk mereka memulihkan diri. Sudah tentu peluang itu tetap ada," tambahnya.