Ramai bintang bola sepak berhasrat untuk bermain dalam kalangan pemain terbaik di dunia tetapi Neymar "mengambil keputusan untuk melakukan sebaliknya".

Paris Saint-Germain (PSG) telah berjaya menyambar Neymar dari Barcelona dengan rekod yuran perpindahan i EURO222 juta (RM1.1 bilion), bulan lalu.

Dia telah menyertai Kylian Mbappe dan Edinson Cavani di Parc des Princes, mengetepikan peluang untuk terus melakar kejayaan bersama Lionel Messi dan Luis Suarez di Nou Camp.

Pengurus pasukan Arsenal, Arsene Wenger, mengakui terkejut melihat seorang bintang dunia pada peringkat kemuncak prestasi memilih untuk meninggalkan kariernya bersama gergasi LaLiga itu.

"Neymar tidak pernah meluahkan alasan sebenar untuk meninggalkan Barcelona kerana akan sentiasa ada keinginan untuk bermain bersama pemain-pemain terbaik dunia," kata Wenger.

"Dia mengambil keputusan melakukan sebaliknya, atau terdapat alasan lain.

"Faktor kewangan atau dia menjangkakan bahawa PSG mampu untuk mengatasi Real Madrid dan Barcelona, atau dalam misi bagi mencari kejayaan individu kerana sering berada dalam bayangan Messi dan Cristiano Ronaldo."

Wenger juga mengulangi keyakinannya untuk menyaksikan bintang muda, Mbappe, yang dipinjamkan oleh Monaco sebelum membuat perpindahan tetap pada tahun hadapan.

"Saya dapat berasakan dia seorang pemain yang berkualiti.

"Saya memberitahu kepada rakan-rakan saya, 'Mbappe adalah Pele yang baru'.

"Dia mampu menjadi pemain terbaik dunia kerana dia memiliki karisma, perwatakan yang bagus dan percaya dengan kebolehannya.

"Anda tidak akan berasakan akan bercakap dengan pemain berusia 18 tahun ketika berbual dengan Mbappe.

"Dia sentiasa membuatkan semua orang tertarik dengan gaya permainannya."