Pierre-Emerick Aubameyang kecewa dengan caranya menginggalkan Arsenal tetapi menegaskan bahawa dia sentiasa memberikan fokus dan komitmen 100 peratus sepanjang bersama kelab itu.

Arsenal mengumumkan awal pagi tadi bahawa Aubameyang telah sah meninggalkan Stadium Emirates secara persetujuan bersama. Dia dijangka akan menyertai Barcelona secara perpindahan percuma walaupun masih belum ada seberang pengesahan rasmi.

Kali terakhir pemain berusia 32 tahun itu bermain untuk The Gunners adalah pada 6 Disember lalu sebelum dia dilucutkan jawatan kapten dan digantung oleh pengurus, Mikel Arteta, gara-gara masalah disiplin, di mana dia pulang lewat daripada luar negara.

Selepas Arsenal mengesahkan pemergiannya, Aubameyang menulis dalam satu kiriman Instagram: "Kepada penyokong Arsenal, terima kasih kerana menjadikan London sebagai rumah saya dan seluruh keluarga saya sepanjang empat tahun ini. Kita melalui naik dan turun bersama-sama dan sokongan anda amat bermakna buat saya.

A post shared by Pierre-Emerick Aubameyang (@auba)


"Berpeluang untuk memenangi trofi dan kebanggaan dibenarkan untuk menjadi kapten kelab ini akan kekal di hati saya selamanya.

"Saya sentiasa memberikan fokus dan komitmen 100 peratus dalam melakukan yang saya mampu untuk kelab ini dan disebabkan itu, untuk meninggalkannya tanpa lambaian selamat tinggal benar-benar menyakitkan -- tetapi inilah bola sepak.

"Saya sedih kerana tidak dapat membantu rakan sepasukan saya sepanjang beberapa minggu lalu tetapi saya amat menghormati kelab ini dan mendoakan yang terbaik buat rakan-rakan saya dan seluruh penyokong kelab ini untuk kejayaan bagi tahun-tahun mendatang."

Aubameyang menjaringkan 92 gol daripada 162 penampilan dalam kesemua kejohanan buat Arsenal sejak menyertainya dariapda Borussia Dortmund pada Januari 2018.

Dia memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris musim 2018-19, di samping Mohamed Salah dan Sadio Mane dan turut menjaringkan dua gol ketika Arsenal menewaskan Chelsea dalam final Piala FA musim berikutnya.