Penelitian dan siasatan oleh Jawatankuasa Penilaian Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merumuskan bahawa insiden membabitkan pengadil, Suhaizi Shukri dan pemain Selangor FC, Fazly Mazlan hanyalah tidak balas spontan pengadil berkenaan.

Penelitian dan siasatan oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan FAM merumuskan Suhaizi tiada sebarang niat untuk melakukan kekasaran terhadap pemain tersebut.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan insiden itu, pengadil berkenaan telah pun memohon maaf kepada FAM, MFL, Jawatankuasa Pengadil FAM dan juga peminat serta penyokong bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan itu yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Insiden pada minit ke-45, menyaksikan pemain Selangor FC, Fazly Mazlan, dilayangkan kad kuning kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi ketika menentang Sabah FC.

Seterusnya pemain tersebut bergerak ke arah pengadil perlawanan dengan melakukan bantahan, seterusnya memijak kaki pengadil.

Ini membuatkan pengadil tersebut tidak dapat menahan kesakitannya, lantas secara spontan mengangkat kaki kebetulan ditujukan ke arah kaki pemain Selangor FC berkenaan.

Bagaimanapun, pergerakan kaki pengadil tidak berkesudahan dengan sebarang sentuhan terhadap pemain tersebut.