Penyerang Borussia Dortmund, Michy Batshuayi, menyifatkan tindakan pengendali, Peter Stoger, meletakkannya di bangku simpanan ketika bertemu Eintracht Frankfurt adalah sesuatu yang tepat.

Awal pagi tadi, Batshuayi masuk ke padang dalam babak kedua ketika Dortmund mendahului 1-0 tetapi dua gol dalam 15 minit terakhir hampir memberikan kekalahan buat BVB.

Batshuayi menjaringkan gol sebanyak dua kali, termasuk ketika waktu kecederaan, untuk memastikan skuad kendalian Stoger itu kekal bertahan di tangga ketiga Bundesliga selepas 26 perlawanan dengan kemenangan 3-2.

Dia, yang kini dalam pinjaman daripada Chelsea, memadamkan jaringan Luka Jovic dan Danny Blum buat pelawat di Signal Iduna Park, sekali gus meraih gol paling lewat dalam Bundesliga sejak Robert Lewandowski melakukannya ketika bertemu Mainz pada November 2013.

Walaupun Batshuayi digugurkan ke bangku simpanan selepas melalui lima aksi tanpa jaringan dalam semua kejohanan, dia mengakui tindakan Stoger itu sesuatu yang tepat.

“Saya lega kerana sudah tidak menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan sebelum ini tetapi hari ini dapat membantu pasukan merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan,” kata Batshuayi.

“Kemenangan pada hari ini adalah sesuatu yang sangat penting kerana ia melibatkan pasukan yang mengekori kami rapat dalam carta liga.

“Mengenai golyang dijaringkan, pada mulanya saya sangkakan berada dalam posisi ofsaid ketika mencatat jaringan tetapi membuat keputusan untuk terus melepaskan rembatan.

“Saya tidak kecewa diletakkan di bangku simpanan ketika awal perlawanan. Ia adalah keputusan jurulatih. Saya penat dalam aksi sebelum ini, jadi apabila masuk sebagai pemain gantian, saya lebih segar.”

Bagi pengendali Eintracht, Niko Kovac, dia kecewa selepas semangat juang anak buahnya dibunuh akibat gol pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus tewas di tangan pasukan yang menundukkan mereka di pentas final Piala Jerman, musim lalu.

“Sudah tentu ia membuatkan saya terkilan kerana seluruh pasukan beraksi baik dalam babak kedua. Setiap kali mencatat jaringan, kami melepaskan gol dengan mudah,” ujar Kovac.