Gary Neville berkata cara Paul Pogba meninggalkan Manchester United menjadi satu perasaan yang pahit untuk ditelan.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu mengumumkan akan keluar United bulan ini secara percuma selepas dibeli semula enam tahun lalu dengan bayaran £89 juta (RM478.8j) yang merupakan rekod termahal dunia ketika itu.

Ini merupakan kali kedua pemain tengah itu meninggalkan The Red Devils dengan percuma dan dikaitkan bakal berpatah balik ke Juventus selepas kali terakhir menghabiskan empat tahun yang sarat dengan trofi bersama Bianconeri.

Walaupun Pogba mencatat bantuan jaringan sebanyak 38 kali dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mencipta 231 peluang terbuka berbanding rakan sepasukannya yang lain sepanjang tempoh keduanya bersama kelab itu, tetapi masih belum mampu mencari jalan keluar untuk memastikan juara liga 20 kali itu mengakhiri kemarau trofi utama sejak 2017.

Selepas 226 perlawanan diturunkan, Pogba menempelak kelab itu dalam dokumentari Amazon Prime minggu ini apabila menganggap mereka sudah tersilap langkah kerana tidak membuat tawaran yang lebih menarik, namun Neville menegaskan pemain tengah Perancis tersebut gagal mencipta impak seperti yang diharapkan di Old Trafford.





"Sejujurnya saya tidak peduli dengan komen Pogba itu," katanya di pelantar TikTok peribadinya.

“Saya fikir apabila seseorang pemain itu pergi, dia boleh berkata apa sahaja yang dia mahu. Tiada masalah. Tetapi saya tidak fikir dia telah menunjukkan prestasi yang baik sejak enam tahun lalu.

"Saya juga tidak fikir kelab mengendalikannya dengan baik. Untuk berlaku adil, kedua-dua belah pihak telah gagal jadi itulah yang perlu diperkatakan.

“Tiada sesiapa pun yang menang apabila pemain berpindah selepas enam tahun, lebih-lebih bukan sedikit wang yang telah dibelanjakan sebaliknya tidak banyak kejayaan yang mereka kecapi.

"Dia pergi dengan rasa tidak berpuas hati dan kelab juga tidak berpuas hati dengannya. Ia meninggalkan kesan pahit kerana berlaku buat kali kedua.

"Semoga berjaya di Juventus pada masa depan."