Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung tindakan melampau penyokong tuan rumah, Indonesia, menghina Malaysia.

Penyokong skuad republik itu didakwa melaungkan sorakan berbunyi "Malaysia itu anjing" ketika perlawanan sulung skuad B-16 kebangsaan kendalian Raja Azlan Shah Raja So'ib dalam Kejohanan B-16 AFF 2018 bertemu Thailand di Surabaya, malam tadi.

"Saya sependapat dengan Tunku Mahkota Johor, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang merupakan mantan Presiden FAM, apabila baginda turut berasakan apa yang dilakukan penyokong Indonesia itu cukup melampau.

"Ia satu penghinaan besar terhadap nama negara menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan baginda menerusi laman JOHOR Southern Tigers, lewat malam tadi," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

"Justeru, tindakan menghantar surat bantahan kepada AFF dan AFC ini dilakukan dengan segera supaya dua pihak berkenaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara sama tidak berulang apabila skuad B-16 turun dalam perlawanan kedua Kumpulan B di stadium sama menentang Brunei, Jumaat ini.

"Bagi memastikan kawalan keselamatan terhadap skuad B-16 kebangsaan lebih terjamin, FAM juga telah bertindak untuk menghantar Exco FAM, ACP Md Dali Wahid, yang merupakan seorang pegawai tinggi PDRM ke Surabaya esok bagi membuat penilaian terhadap langkah-langkah keselamatan yang dilakukan oleh pihak tuan rumah dan penganjur.

"Jika didapati tuan rumah dan penganjur sekadar mengambil ringan isu ini, FAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih drastik selepas ini.

"Bagaimanapun, saya berharap pihak AFF dan AFC akan bertegas dalam hal ini kerana jika diimbas semula, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 telah didenda AFC sebanyak AS$30,000 (RM121,702) kerana tindakan penyokong kita menyanyikan 'chant' menghina Brunei dan Singapura ketika perlawanan acara bola sepak lelaki.

"Tindakan dan denda sewajarnya juga sepatutnya dikenakan terhadap penyokong Indonesia," katanya lagi.