Doktor pasukan Brazil berkata tilam hotel mungkin penyebab kecederaan belakang sehingga memaksa Marcelo dikeluarkan dalam kemenangan 2-0 ke atas Serbia, awal pagi tadi.

Pertahanan Real Madrid itu digantikan selepas permainan baru berusia 10 minit dan analisis awal mencadangkan dia mengalami masalah belakang.

Dr Rodrigo Lasmar memberitahu pemberita sejurus perlawanan itu berakhir bahawa dia optimis nengenai peluang pemain berusia 30 tahun tersebut untuk pulih menjelang pertemuan dengan Mexico dalam pusingan 16, Isnin depan sambil mengakui perlu mengkaji corak tidur Marcelo.

"Masih terlalu awal untuk membuat diagnosis yang tepat," kata Dr Lasmar. "Kecederaan itu mungkin berkaitan dengan tilam hotel.

"Walaupun ramalan kami menjurus kepada berita baik, kami perlu tenang dan menunggu beberapa hari lagi."

Marcelo terlepas aksi bersama Real Madrid akibat kecederaan hamstring pada Februari lalu di sebalik bebas kecederaan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Dr Lasmar berkata selagi kecederaan serius tidak muncul, dia akan terus merawat kecederaan Marcelo dan mempersiapkannya untuk perlawanan menentang Mexico.

"Marcelo sedang dirawat dan ubat yang diambilnya bertindak balas dengan baik dan dia boleh bermain," katanya. "Yang penting tiada kecederaan berlaku.

"Dia mengalami radang otot. Apabila dia berasa baik untuk berlatih, dia akan kembali dan boleh beraksi dengan serta merta.

"Tiada tempoh pemulihan ditetapkan."