Sebanyak 10,000 tiket perlawanan pusingan kedua Piala FA di antara Sabah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Likas, malam esok, telah habis dijual dalam masa kurang tiga jam, pagi tadi.

Jumlah tiket berkenaan adalah sebahagian daripada 21,000 tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan itu dengan selebihnya akan dijual esok, bermula jam 9 pagi.

Tinjauan ke Stadium Likas pagi tadi mendapati orang ramai mula beratur di hadapan kaunter tiket seawal jam 8.00 pagi.

Kaunter penjualan tiket yang sepatutnya hanya akan dibuka pada jam 10 pagi, juga terpaksa dibuka sejam lebih awal oleh pihak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) kerana orang ramai beratur sehingga sampai ke jalan raya.

Perlawanan yang akan bermula jam 8.15 malam esok itu dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak Sabah kerana kehadiran JDT yang berstatus kelab gergasi negara ketika ini.