Tiga perlawanan Liga Malaysia yang ditunda pada Jumaat dan Sabtu lalu ekoran faktor cuaca akan dilangsungkan 21 Februari depan.

Perlawanan terlibat adalah aksi Liga Perdana di antara Terengganu dan PKNP, Kuantan menentang UiTM (Jumaat) dan perlawanan Liga Super di antara Kelantan dan Melaka (Sabtu).

Ketua Unit Pertandingan, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Mohd Shazli Mohd Shaik, berkata pihaknya tiada pilihan lain berhubung soal tarikh baru perlawanan itu.

Ini memandangkan kepadatan jadual perlawanan, termasuk aksi pusingan awal Piala FA selain memastikan tarikh Piala Malaysia dapat dijalankan seperti dirancang.

"Kami tiada pilihan lain. Kalau ikut jadual, ia memang padat. Kami mempunyai tarikh simpanan tetapi jika kami mengadakannya lewat, ia dikhuatiri akan mengganggu jadual pada Mac atau April. Jadi pilihan terbaik adalah pada 21 Februari," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Shazli mengesahkan mereka sudah bersedia dengan kemungkinan masih terdapat beberapa perlawanan yang akan ditunda selepas ini.

"Kami ada beberapa tarikh simpanan untuk sebarang perlawanan yang tertunda, terutamanya akibat jerebu atau hujan," tambahnya.