Tiga perlawanan terakhir pada Ramadan ini bakal menentukan hala tuju Selangor FC dalam pintu perpindahan kedua kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Sungguhpun dikaitkan dengan ikon Jepun, Keisuke Honda, untuk pendaftaran baru bulan depan, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, yang diwawancara wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, tampil menjawab desas-desus itu.

"Buat masa ini (khabar angin itu) memang tidak betul. Kami tidak pernah menghubungi atau nama Keisuke Honda naik.

"Kami tidak ada perancangan tersebut kerana mahu fokus kepada pemain berpotensi tinggi dan muda yang ada.

"Pemain nama besar bukan keutamaan kami," katanya.




Malah, Johan berpuas hati dengan perkembangan pertahanan muda, Sharul Nazeem Zulpakar, termasuk pemain tengah, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, yang makin mengukuhkan tempat mereka dalam kesebelasan utama.

"Pemain muda bermain dengan baik sementara pemain import mungkin mengambil masa yang sedikit lama (untuk menyesuaikan diri dengan Liga Malaysia, cuaca dan jadual padat.

"Kami mempunyai gandingan pemain berpengalaman dan muda, ia (formula) seimbang buat Selangor.

"Kami akan lihat bagaimana kami akan menghabiskan tiga perlawanan terakhir pada Ramadan ini.

"Selepas itu kami mempunyai tempoh sebulan sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam tempoh ini, senarai kecederaan kami akan analisis. Tapi buat masa ini kami gembira dengan skuad yang ada."