Tiga pemain skuad Piala Presiden Sabah yang dipanggil menyertai pasukan senior sebelum ini, akan kembali memperkuatkan skuad berkenaan dalam aksi pembuka tirai menentang PKNP FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, petang ini.

Pemain berkenaan ialah dua penyerang, iaitu Hamran Peter dan Oneil Shanahan M Bungkilan serta pemain pertahanan, Muhd Zaki Sapri.

Pengendali pasukan, Justin Ganai, berkata ketiadaan tiga pemain itu dalam beberapa sesi latihan sebelum ini, menjejaskan sedikit persiapan mereka.

"Bagaimanapun, saya yakin dengan keputusan menurunkan mereka kerana ia pasti memberi keyakinan dan semangat yang tinggi kepada pasukan.

"Dengan kehadiran mereka juga, saya dapat menurunkan barisan terbaik untuk perlawanan pertama kami bertemu PKNP FC, esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, semalam.

Justin berkata, pasukannya menysasarkan kemenangan dalam perlawanan itu, lebih-lebih lagi mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri.

"Untuk perlawanan pertama ini, kami sasar untuk menang kerana keputusan itu akan menjadi pembakar semangat kepada kami bagi menghadapi saingan liga yang panjang.

"Saya harap semua pemain yang diturunkan dapat menunjukkan permainan yang baik," katanya.