STRASBOURG 1 MONACO 3

Monaco meneruskan prestasi tanpa kalah dalam 14 perlawanan Ligue 1 apabila menundukkan Strasbourg 3-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.


Beraksi di Stadium De La Meinau, skuad kendalian Leonardo Jardim itu masih belum tewas sejak November lalu dan mereka tidak berdepan masalah untuk meneruskannya.

Stevan Jovetic meletakkan pelawat di depan ketika perlawanan baru berusia lima minit selepas menanduk bola masuk melepasi penjaga gol, Alexandre Oukidja, sekali gus mencatat jaringan dalam empat perlawanan berturut-turut.

Strasbourg, yang kini berada dalam kelompok bawahan dan berdepan risiko tersingkir ke Ligue 2 pada musim depan, kembali mengikat kedudukan pada minit ke-19 selepas Stephane Bahoken menolak masuk bola hantaran lintang Jonas Martin.

Bagaimanapun, kedudukan 1-1 hanya bertahan selama dua minit apabila Rony Lopes kembali meletakkan pelawat di depan pada minit ke-21 menerusi satu percubaan jarak dekat hasil situasi kelam-kabut di depan gawang.

Selepas menerima hantaran Keita Balde, rembatan deras Fabinho ketika perlawanan berbaki empat minit menuju rehat membolehkan Monaco meraih pendahuluan selesa 3-1.

Jika tandukan Jovetic dalam babak kedua disempurnakan, kedudukan pasti berubah, namun tiga gol sudah cukup untuk membolehkan Monaco menjarakkan kedudukan kepada tujuh mata dengan pasukan di tangga ketiga, Marseille.

Anak-anak buah Jardim kini memburu slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan setelah pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), dilihat selesa dengan kelebihan 11 mata.