Tierney perlu berehat tiga bulan

Penulis Jemputan
Disember 15, 2019 02:49 MYT
Kieran Tierney bakal terlepas aksi selama tiga bulan selepas Arsenal mengumumkan pertahanan itu akan menjalani pembedahan bahu.
Bekas tonggak Celtic berkenaan, yang menandatangani kontrak bernilai £25 juta (RM137.7 j) pada Ogos lalu, ditimpa kecederaan di bahu kanannya itu apabila terjatuh ketika menghadapi West Ham, Isnin lalu.
Arsenal mengesahkan pemain berusia 22 tahun itu menerima satu tamparan besar apabila dimaklumkan "akan menjalani pembedahan minggu depan dan pulih selepas tiga bulan".
Tierney menyertai kelab berkenaan ketika dalam pemulihan ekoran kecederaan pinggul sehingga membatasinya aksinya kepada 11 penampilan sahaja.
Bagi perkembangan positif buat The Gunners pula, Nicolas Pepe diisytiharkan sudah bersedia untuk diturunkan menghadapi Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.
Penggempur berkenaan mengalami lebam di lutut kirinya ketika mencatat kemenangan 3-1 di West Ham.
Begitupun, Rob Holding (lutut), Dani Ceballos (hamstring), Hector Bellerin (hamstring) dan Granit Xhaka (kepala) sah terpinggir.
Bellerin dan Ceballos diharapkan akan menyertai latihan minggu depan sementara Holding dijangka kembali sebelum akhir bulan ini.
Xhaka pula perlu melalui peraturan protokol gegaran.