Monaco telah menyempurnakan perpindahan Adrien Silva secara pinjaman daripada Leicester City, yang membawa Youri Tielemans dari kelab Ligue 1 itu sebagai sebahagian daripada tawaran tersebut.

Tielemans menyertai Monaco daripada Anderlecht pada 2017 tetapi bergelut untuk mencapai potensinya, sama seperti Silva untuk Leicester.

Silva bermain di bawah pimpinan Leonardo Jardim di Sporting CP dan bakal bergandingan semula dengan bekas pengendalinya itu di Stade Louis II.

"Saya sangat gembira menyertai Monaco," kata Silva.

"Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan, melakukan yang terbaik untuk pasukan yang sedang bergelut musim ini."

Pemain kebangsaan Belgium, Tielemans, pula tidak sabar untuk beraksi bersama The Foxes untuk baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

"Saya tidak sabar untuk turun beraksi," kata pemain berusia 21 tahun itu kepada laman web Leicester.

"EPL merupakan salah satu liga terbaik dunia. Saya sentiasa menonton aksi EPL ketika kecil dan sekarang saya bakal beraksi di sini."