Jurgen Klopp berkata tidak semua kemenangan itu indah selepas Liverpool menewaskan Sheffield United 1-0 semalam untuk mengekalkan permulaan cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Skuad The Reds itu tampak bakal mencicirkan mata pertama musim ini sebelum sepakan voli Georginio Wijnaldum mengatasi penjaga gol, Dean Henderson, ketika aksi berbaki 20 minit.

Tuan rumah dilihat lebih menguasai perlawanan berbanding pendahulu liga itu -- yang kini memenangi kesemua tujuh perlawanan liga musim ini -- tetapi Klopp berpendapat pasukan kendaliannya itu berhak meraih tiga mata.

"Perlawanan sebegini, mereka tidak beraksi dengan cantik dan anda perlu bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan," katanya.

"Anda perlu menghormati lawan. Kami melalui detik indah dan terdapat perlawanan sebegini di mana anda perlu menang tetapi tidak terlalu memikirkannya. Satu pasukan layak menang, iaitu kami, tetapi Sheffield perlu dihormati. Mereka begitu kuat.

"Saya kecewa dan sewaktu rehat, kami bercakap tentangnya. Kami bermula baik tetapi anda perlu melakukan perkara sama berulang kali. Ia tentang bahasa badan dan bermula dari tengah.

"Mereka melepaskan segalanya kepada kami dan bekerja keras. Mereka adalah ancaman utama.

"Saya tiada masalah dengan perlawanan, tidak terlalu gembira tetapi ia berlaku. Kami fokus dengan situasi bola mati selama 95 minit. Kami tidak tampilkan aksi bola sepak terbaik tetapi inilah kami."