Mohamed Salah menyindir Manchester United selepas skuad Jose Mourinho itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah, awal hari ini.

Wissam Ben Yedder masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol dan menghantar Sevilla ke peringkat suku akhir dengan kemenangan 2-1 ke atas United di Old Trafford.

Salah tidak menjaringkan gol ketika Liverpool tewas 2-1 di tangan United dalam Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu, dengan skuad Mourinho itu mengukuhkan cengkaman mereka di tangga kedua dalam liga.

Tetapi pemain antarabangsa Mesir itu, yang muncul penjaring terbanyak bersama dalam liga setakat ini, lantas menunjuk-nunjuk mengenai tempat Liverpool di peringkat suku akhir.

"Tidak sabar untuk undian Liga Juara-Juara," tulis Salah di Twitter, diikuti emoji tersenyum.

Liverpool mengalahkan Porto menerusi agregat 5-0 untuk menempah tempat dalam suku akhir Liga Juara-Juara, dengan skuad Jurgen Klopp itu bakal mengetahui lawan mereka seterusnya Jumaat ini.