"Tidak perlu terlalu jaga kaki," kata ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, buat anak buahnya walaupun mengakui tidak rela dihimpit lagi dengan masalah kecederaan menjelang aksi persahabatan dengan Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Masalah kecederaan menghantui skuad negara menjelang pertemuan dengan Vietnam dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Hanoi minggu depan.

Selain kecederaan pemain tengah, Nor Azam Azih, dua lagi pemain, iaitu penyerang, Shahrel Fikri Md. Fauzi, dan pemain sayap, J. Partiban, turut menerima nasib sama.

Cheng Hoe sudah pasti tidak mahu senarai kecederaan pemainnya bertambah, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak bermain dengan sepenuh hati.

"Pemain perlu bijak dalam setiap situasi.

"Kalau mereka perlu melakukan terjahan, mereka perlu memberikan segala-galanya.

"Mereka tidak boleh takut-takut dalam situasi 50-50.

"Ia mungkin boleh mendatangkan kecederaan tetapi jika pemain memberikan 100 peratus, saya yakin kecederaan boleh dielakkan," katanya.

Apapun, kelibat dua pemain tengah, Azzizan Nordin dan Daniel Amier Norhisham, akan mencuri tumpuan susulan ketiadaan Nor Azam.

Kemampuan kedua-dua pemain itu akan diuji Cheng Hoe sebelum salah seorang daripada mereka akan terpilih untuk ke Hanoi.

"Perlawanan malam ini merupakan ujian terpenting buat pemain yang belum pernah beraksi.

"Sudah pasti pemain seperti Azzizan dan Daniel Amier akan diuji.

"Apa yang penting, pemain perlu menikmati setiap peluang ketika diturunkan.

"Mereka perlu membuktikan yang mereka layak untuk bersama pasukan ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Sri Lanka bertekad untuk melakukan kejutan ke atas Malaysia walaupun pasukan di ranking ke-202 dunia itu tempang tanpa penjaga gol utama.

Sujan Perera Don tidak menyertai pasukannya ke Malaysia kerana masalah visa.

Begitupun, tonggak tengah mereka, Mohamed Fazal Naizer, optimis kekuatan benteng akhir pasukannya tetap jitu untuk menghadirkan kesukaran buat Malaysia.

"Kami cukup bersedia untuk pertemuan ini selepas menentang Korea Utara tempoh hari.

"Bagi perlawanan ini, saya mahu membantu pasukan menjaringkan gol dan kami akan beraksi menyerang," katanya.