Pertahanan Uruguay, Sebastian Coates, memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak meletakkan fokus sepenuhnya kepada Cristiano Ronaldo menjelang aksi pusingan kalah mati berdepan Portugal nanti.

Ronaldo telah menjaringkan empat gol di Russia 2018 untuk membantu skuad kendalian Fernando Santos itu mara daripada Kumpulan B.

Juara Euro 2016 itu akan berdepan Uruguay di Sochi, Sabtu ini, dengan pasukan Amerika Selatan itu memegang rekod bersih dalam kejohanan kali ini.

Ketika Ronaldo telah menjaringkan empat gol daripada lima jaringan yang terhasil, Coates mahu Uruguay tidak meletakkan tumpuan sepenuhnya kepada bintang itu.

"Kami akan mengekang pergerakannya tetapi kami juga perlu memantau pemain lain," katanya.

"Dia adalah bintang bertaraf dunia tetapi anda tidak perlu membuat persiapan menghadapi seorang pemain tetapi perlu memikirkan keseluruhan pasukan lawan," ujarnya.

Ronaldo mengangkat Portugal ketika seri 3-3 dengan Sepanyol dalam perlawanan pembukaan, 16 Jun lalu.

Pemain tengah Uruguay, Matias Vecino, menasihatkan pasukannya supaya lebih berhati-hati dengan Ronaldo supaya tidak memberikan sepakan percuma yang akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh penyerang Real Madrid itu.

"Apabila terdapat pakar sepakan percuma daripada pasukan lawan, anda perlu mengelak melakukan kekasaran di luar kotak penalti," katanya.

"Kadang-kala, ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dielak untuk menghentikan pemain tengah atau penyerang ketika melancarkan serangan."