Barcelona dalam misi mencari ketua jurulatih baru musim depan selepas Luis Enrique mengesahkan tidak akan menandatangani pembaharuan kontrak di Camp Nou hujung musim ini.

Berikut adalah kenyataan penuh pengendali berusia 46 tahun itu:

"Keputusan ini sangat sukar, saya mengambil masa agak lama berfikir tetapi saya perlu jujur dengan diri saya sendiri.

"Ketika pra-musim, saya telah berjumpa dengan Albert Soler dan Robert Fernandez dan pada waktu itu saya telah memberi bayangan untuk mengundurkan diri hujung musim ini.

"Mereka menggesa saya agar tidak terburu-turut. Saat itu telah tiba, ini adalah pengumuman rasmi saya.

"Faktor utama perletakan jawatan saya adalah disebabkan tugas ini memerlukan saya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan keadaan itu tidak membenarkan saya untuk berehat.

"Saya perlu berehat dan itulah faktor utama. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada kelab ini kerana memberi keyakinan mereka.

"Sebelum ini, mereka memberi peluang kepada saya untuk mengendalikan skuad B Barcelona, itu juga telah saya laksanakan. Tiga tahun ini selaku pengendali skuad utama memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan profesionalisme yang telah saya peroleh daripada kelab ini. Saya juga tidak lupa bahawa kami masih ada tiga bulan yang perlu ditempuh.

"Pada pendapat saya, kami mampu bangkit (dalam saingan Liga Juara-Juara berdepan Paris Saint-Germain) dan jika segalanya sudah tertulis, kami mampu melakukannya. Saat terbaik untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada kelab ini akan tiba."