Jurulatih Selangor, P. Maniam, menggesa pemainnya mempamerkan semangat juang tinggi dalam perlawanan yang dilabel perhitungan bermaruah apabila berdepan PKNS FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Susulan isu di luar padang, Selangor dan PKNS tampak bermusuhan antara satu sama lain walaupun kedua-dua pasukan seperti adik-beradik.

Kini, Selangor dan PKNS dipertemukan seawal aksi ketiga Liga Super, dengan Selangor lebih cemerlang menerusi rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan.

Maniam, bagaimanapun, tidak mahu anak buahnya memandang mudah keupayaan PKNS yang tewas dua perlawanan berturut-turut sekalipun mengakui pemburuan tiga mata penuh menjadi misi utama Red Giants.

"Bagi saya, ini hanyalah satu lagi perlawanan dalam Liga Super. Hanya perlu fokus kepada perlawanan dan tidak boleh fikir lain," katanya.

"Apa yang sepatutnya kami perlu buat, kami buat. Prosesnya sangat penting, iaitu bagaimana kami mahu mempersiapkan pasukan untuk bermain dengan semangat yang tinggi."

Sebelum pertemuan itu, Selangor diberikan tonik tambahan apabila menerima pelantikan Datuk Shahrizal Shaari sebagai penolong pengurus Red Giants musim ini.

"Kami memutuskan untuk melantik penolong pengurus baru, Datuk Shahrizal, yang juga bekas pemain. Ia dianggap sebagai satu suntikan semangat untuk pasukan secara keseluruhannya," kata pengurus Selangor, Abdul Rauf Ahmad.